KUALA LUMPUR, 28 Mac ― Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan parlimen dan 28
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia dalam Laporan
Kajian Semula Persempadanan.
Badan bebas itu juga mengesyorkan tiada
perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di Semenanjung.
Ini menjadikan bilangan kerusi parlimen
pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kekal 222 kerusi dan kerusi DUN
keseluruhannya kekal 587 kerusi.
Bagaimanapun, PRU14 ini tidak akan
menyaksikan pertandingan bagi 82 kerusi DUN Sarawak kerana negeri itu telah
mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei 2016.
Keempat-empat syor itu terkandung dalam
laporan berkenaan yang meliputi kajian semula persempadanan di semua negeri di
Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,
dan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Cadangan perubahan nama itu ada hanya
pindaan daripada ejaan lama kepada ejaan baharu dan ada meliputi perubahan
seperti kawasan parlimen Bangi yang asalnya dikenali sebagai parlimen Serdang,
parlimen Subang (Kelana Jaya), parlimen Damansara (Petaling Jaya Utara) dan
parlimen Iskandar Puteri (Gelang Patah).
Urusan kajian semula persempadanan itu
selaras dengan peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan
kepada prinsip-prinsip persempadanan dan tatacara persempadanan yang ditetapkan
di bawah perlembagaan itu.
Kali terakhir kajian semula
persempadanan itu diadakan pada 2003 dan menurut Perlembagaan Persekutuan ia
perlu diadakan sekurang-kurangnya lat lapan tahun.
Menurut laporan berkenaan, kriteria
kajian semula itu berdasarkan keadaan geografi dan topografi kawasan; tahap
pembangunan kawasan terlibat; keadaan demografi, kepadatan penduduk dan
bilangan pemilih; serta kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya dan sistem
komunikasi.
Secara keseluruhannya, sebanyak 600
representasi daripada 1,685 representasi yang diterima telah diadakan siasatan
tempatan.
Antara bantahan yang dibangkitkan ialah
pemindahan daerah mengundi dari satu kawasan ke kawasan lain dan jurang bilangan
pemilih.
SPR ada menerima dan ada menolak
representasi bantahan itu dengan alasan untuk memelihara hubungan komuniti
tempatan dan mengurangkan jurang bilangan pemilih antara satu kawasan dengan
kawasan lain.
Kajian semula persempadanan sejak 15
September 2016 itu telah dilakukan dengan telus melalui proses notis
persempadanan, pameran, syor, representasi dan siasatan tempatan.
Menurut laporan itu, jumlah pemilih di
Semenanjung Malaysia adalah 11.3 juta orang atau dengan tepatnya 11,379,352
orang mengikut daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016
dan 6 September 2016.
Berikut adalah senarai cadangan
perubahan nama bagi 12 kawasan Parlimen:
Nama baru kerusi parlimen (nama asal)
Kedah
P.009 Alor Setar (Alor Star)
Perak
P.075 Bagan Datuk (Bagan Datok)
P.076 Teluk Intan (Telok Intan)
Selangor
P.102 Bangi (Serdang)
P.104 Subang (Kelana Jaya)
P.105 Petaling Jaya (Petaling Jaya
Selatan)
P.106 Damansara (Petaling Jaya Utara)
P.107 Sungai Buloh (Subang)
Negeri Sembilan
P.132 Port Dickson (Telok Kemang)
Melaka
P.137 Hang Tuah Jaya (Bukit Katil)
Johor
P.162 Iskandar Puteri (Gelang Patah)
P.165 Tanjung Piai (Tanjong Piai)
Berikut adalah senarai syor perubahan
nama bagi 28 kawasan DUN:
Nama baru DUN (nama asal)
Kedah
N.12 Suka Menanti (Bakar Bata)
Kelantan
N.16 Apam Putra (Bukit Tuku)
N.21 Pantai Irama (Perupok)
Terengganu
N.10 Buluh Gading (Teluk Pasu)
Perak
N.13 Kuala Sepetang (Kuala
Sapetang)
N.38 Astaka (Sitiawan)
Selangor
N.16 Sungai Tua (Batu Caves)
N.21 Pandan Indah (Chempaka)
N.26 Sungai Ramal (Bangi)
N.36 Bandar Utama (Damansara
Utama)
N.45 Bandar Baru Klang (Sungai
Pinang)
N.48 Sentosa (Kota Alam Shah)
N.49 Sungai Kandis (Seri
Andalas)
N.50 Kota Kemuning (Sri Muda)
N.52 Banting (Teluk Datuk)
Negeri Sembilan
N.24 Seremban Jaya (Senawang)
N.33 Sri Tanjung (Port Dickson)
Melaka
N.08 Machap Jaya (Machap)
N.15 Pengkalan Batu (Bachang)
N.17 Bukit Katil (Bukit Baru)
Johor
N.07 Bukit Kepong (Bukit
Serampang)
N.08 Bukit Pasir (Jorak)
N.13 Simpang Jeram (Sungai Abong)
N.39 Tanjung Surat (Tanjong Surat)
N.44 Larkin (Tanjong Puteri)
N.46 Perling (Pengkalan Rinting)
N.49 Kota Iskandar (Nusa Jaya)
N.55 Pekan Nanas (Pekan Nenas) ― Bernama
No comments:
Post a Comment