Desakan tersebut disuarakan Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng yang menyelar Setiausaha Agung DAP itu yang sehingga ke hari ini masih enggan mengakui melakukan kesilapan membabitkan kanak-kanak dalam hal berkaitan politik.
"Beliau masih enggan mengakui tindakannya 'mengejek' lagu 'A,B,C' di hadapan kanak-kanak sebagai satu kesilapan menjengkelkan.
"Jelas sekali tidak ada rasa kesal dalam diri beliau," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, satu video dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik Guang Ming Daily memperlihatkan Guan Eng 'terkinja-kinja' mengikut rentak lagu anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam sebuah majlis yang kebanyakannya dihadiri kanak-kanak.
Video berdurasi 32 saat yang tular itu juga memaparkan seolah-olah menghina kerajaan dengan antara bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu berkenaan termasuk 'A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee, semua kena GST, bayar untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB)'. - UTUSAN ONLINE